Rujukan Lengkap sebagai Persediaan Anda Hadiri Temuduga Kerja Kerajaan

Tiba Masa Kenderaan Bertukar Guna NGV

08 June 2008 |

Salam Ceria dan Selamat Sejahtera,

Sekali lagi saya kongsikan satu petikan akhbar berkenaan NGV. Hal ini saya lakukan berikutan krisis kenaikan harga minyak sama ada petrol mahu pun diesel. Sebagai rasa tanggungjawab, jadi saya sertakan artikel ini untuk bacaan semua. Kali ini saya memilih petikan akhbar dari Utusan Online (http://www.utusan.com.my) pula.

Oleh Siti Suhaila Samian.

KENAIKAN harga petrol dan diesel yang diumumkan Perdana Menteri merupakan satu kejutan besar kepada rakyat seluruh negara. Kenaikan harga bahan bakar tersebut sehingga 40 peratus merupakan tamparan hebat bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Belum selesai krisis harga beras yang melambung, rakyat dikejutkan dengan pengumuman ini. Ditambah pula dengan pengumuman kenaikan tarif elektrik bermula 1 Julai 2008, rakyat pasti merasa lebih terhimpit.

Tidak dinafikan, kenaikan harga minyak dunia adalah fenomena yang tidak dapat dielakkan. Namun begitu, kenaikan mencecah 0.78 sen seliter bagi petrol dan RM1 bagi diesel merupakan kenaikan tertinggi dan terburuk dalam sejarah negara.

Lazimnya, kenaikan harga minyak secara langsung akan memberi kesan terhadap kenaikan harga barang. Perkara ini wajar diberi perhatian meskipun pelbagai mekanisme digunakan bagi membendung kenaikan harga barang.

Meskipun kerajaan akan melakukan pemantauan bulanan terhadap kenaikan harga minyak dan bersedia menurunkan harga bahan bakar apabila harga minyak dunia berada pada kadar yang stabil, usaha ini belum pasti dapat dilaksanakan kerana harga minyak dunia dijangka akan meningkat kepada AS$150 setong pada akhir tahun ini.

Bagi pengguna kenderaan bermotor, kenaikan harga minyak merupakan satu bebanan yang sukar ditanggung. Alternatif lain boleh digunakan seperti penggunaan NGV yang semakin mendapat perhatian.

Apabila pengumuman bahawa harga gas asli kenderaan (NGV) dikekalkan pada tahap lama iaitu 63.5 sen seliter, pengguna-pengguna NGV boleh menarik nafas lega. Walaupun kos pemasangan yang agak mahal, namun tidak dinafikan bahawa alternatif ini boleh dianggap sebagai pelaburan jangka masa panjang.

Malaysia kini mula mengikut jejak negara Itali yang terkenal dan sudah lama menggunakan kaedah NGV ini selain negara China. Malah, Singapura juga menggalakkan penggunaan kenderaan NGV dimana setiap pemasangan alat NGV akan diberi imbuhan.

Namun begitu, kenderaan-kenderaan ini tidak semuanya 100 peratus menggunakan gas asli. Sesetengah kenderaan masih menggunakan bahan bakar sebagai alternatif di samping menggunakan gas asli pada masa yang sama. Pengguna masih perlu menanggung kenaikan kos bahan bakar walaupun, penjimatan yang dinikmati adalah lebih besar.

Sebagai pengguna NGV, beberapa kelebihan boleh dinikmati seperti pengurangan 25 peratus cukai jalan di samping kos bahan bakar yang sangat menjimatkan.

Sebagai contoh, pengisian penuh sebuah tong berkapasiti 60 kg, adalah sekitar RM11 dan boleh bergerak sehingga sejauh 230 km, harga petrol yang perlu diisi ialah sekitar RM35.

Penjimatan sebanyak RM24 boleh dinikmati dengan menggunakan kaedah alternatif ini. Walaupun dikatakan kenderaan NGV akan kehilangan 25 peratus prestasi kuasa pecutan, namun ia tetap merupakan alternatif terbaik dalam situasi genting begini.

Penjimatan kos bahan api akan lebih dirasakan untuk satu tempoh perjalanan jauh. Perjalanan jauh dapat dilakukan bergantung kepada 'pressure' atau tekanan gas di stesen-stesen minyak. Lebih tinggi pressure, lebih jauh perjalanan yang dapat dilakukan dengan kos bahan bakar yang menjimatkan.

Malah, sebagai salah seorang pengguna NGV, sekiranya kenderaan digunakan untuk pergi dan pulang daripada kerja sahaja, dalam tempoh empat hari, kos bahan bakar yang diperlukan hanya sekitar RM12.

Secara purata, dalam tempoh sebulan, kos bahan bakar yang perlu diperuntukkan hanya dalam lingkungan RM100 hingga RM120 sahaja berbanding kos petrol.

Langkah Petronas yang akan membuka 200 stesen NGV di seluruh negara merupakan peluang kepada pengguna kenderaan bermotor untuk menggunakan kaedah ini dalam usaha mengurangkan bebanan kenaikan harga bahan bakar.

Pengguna tidak perlu lagi beratur panjang untuk mengisi gas dengan penambahan bilangan stesen yang dijangka dapat beroperasi pada hujung tahun ini.

Pengguna juga tidak perlu berasa takut dengan penggunaan NGV kerana masalah kerosakan tetap berlaku walaupun tidak menggunakan NGV. Minda rakyat perlu berubah dan lebih terbuka. Alternatif terbaik di depan mata, tepuk dada, tanya minda sedar kita.

Sekian, terima kasih.



Wassalam.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...