Rujukan Lengkap sebagai Persediaan Anda Hadiri Temuduga Kerja Kerajaan

Pemandu Beralih ke NGV

08 June 2008 |

Salam Ceria dan Selamat Sejahtera,

Sempena dengan kenaikan harga minyak baru-baru ini, saya akan paparkan petikan akhbar yang berkaitan khas untuk anda. Antaranya ialah artikel yang berkenaan dengan NGV.
Petikan akhbar pilihan saya ini dipetik dari laman web Berita Harian Online (http://www.bharian.com.my)

Gas asli kenderaan lebih menjimatkan, selamat berbanding petrol atau diesel

BATU CAVES: Orang ramai mula menukar sistem bahan api kereta mereka daripada menggunakan petrol kepada penggunaan gas asli kenderaan (NGV) berikutan kenaikan harga petrol yang diumumkan kerajaan kelmarin.

Tinjauan Berita Harian semalam mendapati orang ramai sanggup mengeluarkan belanja antara RM1,900 hingga RM8,000 serta sedia menunggu lama untuk memasang sistem bahan api NGV pada kereta mereka.

Pengusaha pusat penukaran NGV, Nice Network Sdn Bhd, Hazman Ishak, berkata sejak pagi semalam pejabatnya menerima banyak panggilan daripada pengguna untuk membuat tempahan penukaran kepada sistem bahan NGV yang terbukti lebih menjimatkan dan selamat daripada penggunaan petrol.

"Setakat hari ini (semalam) senarai menunggu untuk khidmat ini mencecah 500 orang dan saya perlu mengarahkan pekerja untuk bekerja lebih masa bagi membolehkan pengguna tidak menunggu terlalu lama.

"Bagi setiap pemasangan kenderaan yang menggunakan sistem karburetor pemasangan sistem NGV memakan masa sehari, manakala bagi kenderaan menggunakan sistem 'multi-point injection (MPI) memerlukan masa dua hari untuk disiapkan.

"Penggunaan NGV lebih jimat berdasarkan perbandingan RM1 petrol yang hanya boleh mencecah jarak perjalanan 10 kilometer, manakala RM1 NGV boleh mencecah jarak perjalanan sejauh 20 kilometer," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Seorang pengguna, Siti Hajar Ismail berkata, beliau memilih untuk menggunakan NGV kerana ia lebih jimat, selamat dan mesra alam.

"Saya sudah menggunakannya sebelum ini dan mendapati ia jauh lebih menguntungkan daripada penggunaan petrol kerana harganya separuh lebih murah," katanya.

Seorang pelanggan, Steven Chaw, 34, memberitahu beliau membuat keputusan untuk memasang NGV berikutan harganya yang jauh lebih murah selepas kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak semalam.

"Penggunaan NGV juga lebih menjamin keselamatan kerana ia tidak mudah meletup jika berlaku kebocoran dan kemalangan ," katanya.

Sementara itu di JOHOR BAHRU orang ramai di bandar raya ini kini mula beralih kepada penggunaan peralatan NGV yang jauh lebih murah selepas kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol dan diesel, kelmarin.

Berikutan itu, beberapa syarikat menawarkan pemasangan alat NGV di sini kini menerima banyak tempahan berbanding sebelumnya daripada pemilik kenderaan yang mula mencari alternatif menggunakan bahan api dengan harga lebih murah.

Pengurus Operasi Perisind Auto Care Sdn Bhd, Hussien Ridwan, berkata pengumuman kenaikan harga petrol, kelmarin, menyebabkan syarikatnya mendapat 14 tempahan dalam masa 24 jam untuk pemasangan alat NGV, berbanding 10 hingga 12 tempahan dalam sebulan sebelum ini.

Ahaah! Semoga anda mendapat manfaat dari artikel di atas. Mungkin melalui paparan tersebut ada di antara anda yang ingin beralih kepada NGV?



Sekian, terima kasih.

Wassalam.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...