Rujukan Lengkap sebagai Persediaan Anda Hadiri Temuduga Kerja Kerajaan

Piala Thomas 2008 Milik China

19 May 2008 |

Salam Jimat dan Selamat Sejahtera,

Demam Piala Thomas dan Piala Uber 2008 telah pun berakhir semalam. Kedua-duanya menjadi milik pasukan China. Kejuaraan berganda itu telah menambahkan satu lagi bukti kejaguhan mereka dalam arena badminton dunia. Kebetulan, China bakal menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2008. Jadi, kemenangan tersebut pastinya menambahkan lagi keyakinan mereka untuk menghadapi temasya empat tahun sekali itu.

Pada perlawanan akhir Piala Thomas 2008 semalam, China bertemu dengan Korea Selatan.

Perlawanan pertama menemukan Lin Dan dan Park Sung Hwan. Lin Dan agak goyah pada set pertama dan tewas mudah 10-21. Namun, Lin Dan bangkit pada set kedua dan ketiga untuk menang dengan 21-18, 21-8 dalam masa 70 minit.
Setelah berakhirnya perlawanan pertama tersebut, China mendahului 1-0.

(Gambar dipetik dari utusan.com.my dan reuters)

Kemudian, beregu pilihan kedua dan ketiga dunia pula turun membuat perhitungan. Cai Yun/Fu Hai Feng menentang Jung Jae Sung/Lee Yong Dae.
Beregu utama Korea memastikan kedudukan kembali seimbang kepada 1-1 apabila menang 25-23, 21-16 ke atas pasangan utama China dalam masa 45 minit.

Seterusnya, Bao Chunlai dan Lee Hyun Ill turun menggalas tanggungjawab selaku perseorangan kedua. Set pertama memang agak sengit dan hampir ditamatkan sehingga mata maksimum iaitu 30.

Namun, pada mata terikat 26-26 Lee Hyun Ill agak sedikit goyah dan akhirnya membenarkan Bao Chunlai menang 28-26.
Set kedua Lee Hyun Ill agak kurang bertenaga dan menyerah mudah 11-21 kepada Bao Chunlai.

Bao Chunlai menang dalam masa 46 minit untuk China mendahului 2-1.

Perlawanan akhir Piala Thomas 2008 tamat lebih awal apabila beregu kedua China, Guo Zhendong/Xie Yongbo menang ke atas Lee Jae Jin/Hwang Ji Man dengan "rubber set" 21-12, 19-21 dan 21-12 dalam masa 64 minit.
Apa yang saya perhatikan, beregu kedua China ini bermain pantas dan seolah-olah ingin menamatkan perlawanan lebih awal.
Ya, mereka menang mudah pada set pertama tetapi permainan berlanjutan sehingga ke "rubber set".

Melalui pemerhatian sejak bertahun-tahun lamanya, saya dapati jika sepasang beregu bermain pantas (agak tergesa-gesa) seolah-olah ingin menamatkan perlawanan lebih awal, perlawanan tersebut selalunya berakhir dengan "rubber set".

Tapi, apa yang lebih penting ialah mereka berjaya membantu China merangkul Piala Thomas buat kali ketiga berturut-turut dan kali ketujuh secara keseluruhannya.

Keputusan akhir = China 3-1 Korea Selatan


Tahniah diucapkan buat China dan jumpa lagi pada Piala Thomas 2010 di Malaysia.

Ahaah! Sampai bertemu lagi di lain waktu.

p.s: Harapan Malaysia merangkul emas dalam acara badminton pada Sukan Olimpik 2008 cerah jika Lee Chong Wei boleh mengekalkan prestasi mantapnya ketika bertemu Lin Dan dan sepanjang kempen Piala Thomas 2008.

p.p.s: Semoga skuad Piala Thomas 2010 Malaysia mampu mengulangi sejarah yang dicipta oleh skuad Piala Thomas 1992 yang diketuai oleh Rashid Sidek.

p.p.p.s: Skuad Piala Uber 2008 China menewaskan Indonesia 3-0.



Sekian, terima kasih.

Wassalam.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...