Permainan menakjubkan yang dipamerkan oleh Andy Roddick di sepanjang kejohanan Tenis Wimbledon 2009 sampai ke penghujungnya semalam. Pilihan ke-6 itu akur dengan bekas juara Wimbledon 5 kali sebelum ini iaitu Roger Federer dengan 7-5, 7-6(8-6), 7-6(7-5), 6-3 dan 16-14 dalam masa 4 jam 16 minit. Pertemuan ini juga adalah pertemuan ke-21 di antara keduanya. Di mana Federer menang 19 kali dan bakinya milik Roddick.
Dengan keputusan tersebut, ia sekaligus menobatkan Roger Federer sebagai pemegang rekod Grand Slam yang baru dengan 15 kejuaraan. Tidak cukup dengan itu, beliau yang juga naib juara tahun lepas, kini kembali ke kedudukan no.1 dunia.
Secara keseluruhannya, perlawanan akhir semalam cukup sengit dan mendebarkan. Roddick turun dalam misi membalas dendam kekalahannya pada lawan yang sama pada saingan akhir Wimbledon 2004 dan 2005. Federer pula cuba mendapatkan kembali piala yang terlepas ke tangan Rafael Nadal tahun lepas di samping memburu rekod Grand Slam ke-15.
Hasilnya, banyak perubahan ketara yang ditunjukkan Roddick. Permainannya semakin meningkat ditambah pula dengan servis padu yang menjadi-jadi. Federer langsung tiada formula untuk menanganinya sehinggalah di set penentuan. Semangatnya yang sentiasa membara juga dapat dirasakan penonton.
Federer pula seperti biasa. Beliau sentiasa tenang dalam kebanyakan situasi. Saya rasa itulah kunci kejayaannya. Walaupun beberapa ketika pukulannya sering tak menjadi, beliau berjaya juga melakukan 50 servis "ace" sepanjang perlawanan.
Berikut adalah beberapa imej yang saya ambil dari laman AP Images mengenai perlawanan akhir tenis Wimbledon 2009 untuk tatapan anda. Terutamanya kepada yang tak berkesempatan menyaksikan perlawanan epik itu semalam.
Sekiranya Roger Federer merangkul kejuaraan Wimbledon ini sekali lagi tahun depan, beliau bakal menyamai pencapaian Pete Sampras (USA) dan W.C. Renshaw (Bri). Iaitu pemain lelaki yang menjuarai acara perseorangan Wimbledon paling banyak iaitu 7 kali.
0 comments:
Post a Comment